Sunday, March 8, 2009

ZIKIR YANG PALING AGUNG

Jalan untuk memperbaiki diri ialah dengan berzikir. Bermula dari zikir qauli (lidah), zikir fi’li (perbuatan) dan zikir qaibi (hati).
.
Zikir yang paling agung ialah solat. Di dalamnya terkandung segala bentuk zikir, amalan para malaikat serta para nabi dan rasul.
.
Selain itu, di dalamnya kita meminta petunjuk, keampunan, mengadu dan bermanja dengan Tuhan. Di dalamnya juga kita memuji, membesar dan mensucikan Tuhan. Di dalam solat, Allah SWT mendidik kita.
.
Namun demikian, Allah tidak mendidik semua orang yang mendirikan solat. Allah hanya mendidik orang-orang yang tertentu sahaja iaitu orang-orang yang khusyuk, tawadhuk dan khuduk di dalam solat. Allah SWT hanya mendidik orang-orang yang membawa fikiran dan hati mereka di dalam solat. Iaitu orang-orang yang faham apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka lafazkan.
.
Orang-orang yang dapat menghayati dan merasakan di hati mereka tentang apa yang mereka buat dan lafazkan di dalam solat. Bermula dari takbiratul ihram (semasa mengucapkan lafaz Allahu Akbar pada permulaan sembahyang). Jika difahami dan dihayati sungguh-sungguh akan menimbulkan rasa-rasa tertentu di hati.
.
"Allahu Akbar" dalam takbir itu bererti "Allah Maha Besar." la merangkumi segala sifat Allah SWT yang hebat seperti sifat Jabbar, Qahhar, Gagah Perkasa, Berkuasa, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Yang Paling Hebat sehingga apabila Dia berkata, "Jadi" maka jadilah ia.
.
Maka dengan takbir itu hati akan merasa takut, hebat dan gerun dengan Allah SWT. Begitulah Allah SWT mendidik kita.
.
Abd Rahman Abd Majeed (2007) Rahsia dan Keajaiban Solat Pada Perkembangan Minda Insan. Kuala Lumpur: Darul Nu’man