Sunday, March 8, 2009

1. Menghindari Dosa dan Mungkar

Apabila kita merasa takut kepada Allah SWT, maka mudahlah kita menghindarkan diri daripada melakukan dosa dan kemungkaran bahkan segala yang dilarang oleh Allah SWT. Kita sentiasa takut jika tersisih dari rahmat keampunan dan kasih sayang Tuhan.
.
Namun begitu, jika perasaan takut sahaja yang Allah campakkan ke dalam hati orang-orang yang mendirikan solat, maka akan lahirlah hamba-hamba Allah yang sentiasa takut dan hanya berusaha untuk mengelakkan diri dari membuat kemungkaran dan dosa. Tidak ada dorongan untuk mencetuskan kebaikan-kebaikan lain.
.
Oleh kerana itulah Allah mensyariatkan juga dalam solat supaya dibaca "Bismillah hirrahmannir rahiim" terutama pada awal Surah al-Faatihah. Di dalam mazhab Syafie, basmalah ini merupakan sebahagian daripada ayat di dalam surah al-Faatihah yang tujuh dan wajib dibaca dalam solat.
.
Kalau basmalah ini dihayati dengan sungguh-sungguh, kita akan dapat merasakan betapa pemurah dan penyayangnya Tuhan, yang sentiasa mencurahkan rahmat dan nikmatNya kepada manusia sama ada yang berbentuk zahiriah atau material, mahupun yang berbentuk maknawi atau spiritual.
.
Dengan ini, akan timbul rasa cinta dan kasih seorang hamba kepada Tuhannya. Rasa cinta ini akan mendorongnya untuk berbakti dan membuat kebaikan hanya kepada Allah SWT serta berusaha dan berjuang untuk mendapat cinta dan kasih sayangNya.
.
Abd Rahman Abd Majeed (2007) Rahsia dan Keajaiban Solat Pada Perkembangan Minda Insan. Kuala Lumpur: Darul Nu’man