Wednesday, March 4, 2009

SEJARAH SOLAT

Solat disyariatkan selepas peristiwa Israk dan Mikraj. Israk ialah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di waktu malam. Mikraj pula ialah perjalanan Rasulullah SAW dari bumi ke angkasa lepas hingga melewati 7 lapisan langit, seterusnya menemui Allah SWT di Sidratul Muntaha.
.
Menurut sesetengah riwayat yang sahih sandarannya, peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum peristiwa Hijrah iaitu pada tahun ke-11 kerasulan baginda, bersamaan tahun 622 Masehi.
.
Ketika itu baginda berusia dalam lingkungan 51 tahun. Perjalanan ini dilalui dengan jasad dan roh sekali serta dalam keadaan sedar. Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.
.
Tujuan Israk Mikraj adalah:
1. Untuk membuktikan tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.
.
2 . Untuk menghiburkan Rasulullah SAW yang sedang dalam kesedihan kerana:
• Kewafatan isteri baginda yang sangat disayangi iaitu Siti Khadijah.
• Kematian bapa saudara baginda Abu Talib yang banyak membantu dan melindungi baginda dari gangguan dan kecaman orang-orang kafir Quraisy Mekah.
• Tentangan dan pemulauan orang-orang kafir Quraisy yang amat dahsyat terhadap umatnya.
.
3 . Untuk menguji keimanan orang-orang Islam sama ada benar-benar beriman dan percaya kepada Allah SWT dan RasulNya atau tidak. Begitu juga dengan orang-orang kafir sama ada mereka mempercayai kata-kata Rasulullah SAW atau sebaliknya.
.
4 . Untuk menerima perintah solat lima waktu sehari semalam.
.
Iktibar dari peristiwa Israk Mikraj adalah:
1. Peristiwa Israk Mikraj ini adalah satu mukjizat Rasulullah SAW yang tidak pernah dialami oleh para Nabi sebelum baginda. Hanya Nabi SAW sahaja yang dapat berjumpa dan bercakap dengan Allah SWT.
.
2 . Umat Muhammad adalah paling mulia dari umat sebelumnya, di mana Allah SWT telah melantik baginda sebagai pemimpin di dunia dan alam ini dan baginda telah dipilih menjadi kekasih Allah SWT.
.
3 . Umat Islam telah dihadiahkan oleh Allah SWT dengan perintah menunaikan solat lima waktu sehari semalam dengan mendapat pahala 50 waktu sebagaimana perintah yang asal. Sebelum ini Rasulullah SAW menunaikan solat dua rakaat pada sebelah pagi dan dua rakaat pada sebelah petang.
.