Sunday, March 8, 2009

2. Menajamkan Mata Hati dan Sifat Kehambaan

Kita disyariatkan juga untuk membaca Hamdalah (Alhamdulillah) pada awal surah al-Faatihah. Di sini kita memuji Tuhan sebagai tanda syukur dan terima kasih kita di atas segala rahmat, nikmat dan kebaikan yang telah dikurniakanNya kepada kita.
.
Jadi, di dalam solat itu terkandung pelbagai didikan dari Tuhan yang saling berkait di antara satu sama lain, bahkan saling kuat menguatkan. Solat itu ibarat satu siri atau satu set didikan rohaniah yang lengkap dan seimbang, agar hamba yang mendirikan solat itu terdidik dan terbina sebagai seorang insan yang kukuh dan seimbang dari segi zahir dan batinnya.
.
Di samping untuk memupuk sifat takut dan cinta kepada Tuhan, terdapat berbagai-bagai lagi didikan di dalam solat. Doa yang disyariatkan contohnya, akan meningkat dan menajamkan lagi mata hati dan sifat kehambaan yang ada pada kita. la akan menambah pergantungan, menaruh harap dan penyerahan hanya kepada Allah SWT.
.
Mengadu kepada Tuhan di dalam solat pula akan melapangkan dada seseorang hamba kerana telah menyerahkan segala beban masalahnya kepada Tuhan untuk diselesaikan.
.
Begitulah caranya Allah mendidik hamba-hambaNya yang ikhlas, khusyuk, tawadhuk dan khuduk di dalam mendirikan solat dengan menyediakan pelbagai didikan yang bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam, yang mana setiap satu mengandungi hikmah tersendiri.
.
Abd Rahman Abd Majeed (2007) Rahsia dan Keajaiban Solat Pada Perkembangan Minda Insan. Kuala Lumpur: Darul Nu’man