Wednesday, March 4, 2009

NAMA DAN ASAL-USUL SOLAT

1. Subuh
Manusia pertama yang mengerjakan solat Subuh ialah Nabi Adam AS iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar, Nabi Adam AS pun mendirikan solat dua rakaat.
• Rakaat pertama: Bersyukur kerana terlepas dari kegelapan malam.
• Rakaat kedua: Bersyukur kerana siang telah menjelma.
.
2. Zuhur
Orang pertama yang mengerjakan solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim AS iaitu tatkala Allah SWT memerintahkan kepada baginda agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Seruan itu diturunkan pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim AS sebanyak empat rakaat.
• Rakaat pertama: Bersyukur di atas penebusan itu.
• Rakaat kedua: Bersyukur kerana dukacita baginda bersama anaknya diangkat.
• Rakaat ketiga: Bersyukur dan memohon keredhaan Allah.
• Rakaat keempat: Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.
.
3. Asar
Orang pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus AS iaitu tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus AS di tepi pantai. Kebetulan ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus AS lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada kegelapan iaitu:
• Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
• Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
• Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
• Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.
.
4. Maghrib
Orang yang pertama mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa AS iaitu tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya. Sewaktu kejadian itu berlaku, matahari sedang terbenam. Bersyukurlah Nabi Isa AS, lalu baginda pun mendirikan sembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:
• Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
• Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Maryam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
• Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.
.
5. Isyak
Orang pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa AS. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Lalu Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacita itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu bersembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda syukur.
• Rakaat pertama: Dukacita terhadap isterinya.
• Rakaat kedua: Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun AS.
• Rakaat ketiga: Dukacita terhadap Firaun.
• Rakaat keempat: Dukacita terhadap anak Firaun.
.