Sunday, March 8, 2009

FADHILAT SOLAT: 3. Difardhukan Di Malam Mikraj

Solat lima waktu difardhukan di langit pada malam Nabi Muhammad SAW diisrakkan (berjalan malam) dan dimikrajkan (naik ke alam tinggi). Peristiwa yang menggemparkan penduduk Mekah itu terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah.
.
Seluruh fardhu dan ibadah yang selain dari solat, diperintahkan oleh Allah SWT melalui Jibril untuk disampaikan kepada Nabi SAW. Hanya perintah solat sahaja yang diterima Nabi secara terus dari Allah dengan memerintahkan Jibril agar menjemput baginda dari Mekah (dari Masjid al-Haram) hingga ke Baitul Maqdis (Masjid al-Aqsa) di Palestin, kemudian terus dibawa menaiki langit yang pertama hingga ketujuh dan menemui Allah, untuk menerima perintah ibadah solat.
.
Pada malam sebelum Nabi mikraj, para malaikat membersihkan batin Nabi SAW dari segala keraguan dan memenuhkan hati baginda dengan iman dan hikmah, serta membersihkan anggota-anggota Nabi yang zahir dengan air telaga Zam-zam.
.
Diperintahkan solat di alam yang tinggi itu dengan terlebih dahulu dibersihkan zahir dan batin Nabi SAW. Ini merupakan satu perkara yang membuktikan betapa tingginya kedudukan dan keutamaan solat.
.
Abd Rahman Abd Majeed (2007) Rahsia dan Keajaiban Solat Pada Perkembangan Minda Insan. Kuala Lumpur: Darul Nu’man