Wednesday, March 4, 2009

ROH (JIWA) SOLAT

Ahli makrifat telah mentakrifkan roh (jiwa) solat dengan takrif yang menggambarkan hakikat solat itu, iaitu:
"Roh solat itu ialah berharap kepada Allah SWT dengan sepenuh jiwa, dengan penuh khusyuk di hadapanNya dan ikhlas kepadaNya serta hadir hati dalam berzikir, berdoa dan memuji."
.
Ringkasnya, roh solat ialah: "Berhadap kepada Allah SWT dengan khusyuk, ikhlas, hadir hati, sama ada dalam berzikir, berdoa mahupun dalam memuji."
.
Inilah roh atau jiwa solat yang sebenar. Untuk mewujudkan hal itu, maka solat disyariatkan. Dengan ini jelaslah bahawa solat tidak sekali-kali disyariatkan kerana rupa, sebaliknya solat disyariatkan kerana hakikat jiwanya (rohnya). Oleh kerana itulah, rupa solat berubah-ubah, lain Nabi, lain pula rupanya, sedangkan roh (jiwanya) tetap tidak berubah.
.
Takrif yang melengkapi rupa dan hakikat solat ialah:
"Menghadapkan hati (jiwa) hanya kepada Allah SWT, suatu perbuatan menghadap yang mendatangkan perasaan takut, menumbuhkan rasa kebesaranNya dan mengagungkan kekuasaanNya dengan penuh khusyuk dan ikhlas di dalam beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam."
.