Wednesday, March 11, 2009

HAI ANAKKU, DIRIKANLAH SOLAT

LUQMAN al-Hakim menyuruh anaknya agar menunaikan solat sebagaimana wasiatnya: "Hai anakku! Dirikanlah solat."
.
Luqman menyuruh anaknya agar menunaikan solat kerana solat merupakan fardhu yang diwajibkan oleh Allah SWT melalui utusanNya di bumi (dari kalangan Nabi dan Rasul).
.
Selepas manusia ditegah dari melakukan syirik dan taat kepada Allah dan QudratNya yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa, datanglah arahan supaya beramal dengan amalan-amalan yang serasi dengan prinsip-prinsip tauhid, yang mana salah satu darinya adalah solat.
.
Solat adalah tiang agama. Dalil keimanan dan keyakinan hamba terhadap Ilahi. Jalan mendekatkan diri kepadaNya dan membantu mencegah kemungkaran, kekejian dan mensucikan diri.
.
Islam menggalakkan ibu bapa menyuruh anak-anak mereka agar menunaikan solat di kala menjelang umur 7 tahun (mumayyiz) dan memukul mereka sekiranya mereka meninggalkan solat ketika mencapai umur 10 tahun. Pada waktu ini, ibu bapa disuruh mengasingkan tempat tidur mereka.
.
Ini adalah satu cara didikan Islam yang menyanggahi segala ideologi Barat yang salah. Pendidikan Barat tidak bersetuju dengan cara menakut-nakutkan (tarhib) dan tidak suka mengakuinya (sebagai suatu cara yang baik dan berkesan).
.
Tetapi Allah SWT menyanggahi mereka dalam dasar demikian, di mana Dia menggalakkan para hambaNya dengan nikmat syurga dan menakutkan mereka dengan seksaan neraka. Orang-orang yang tidak berasa gembira menerusi ayat-ayat mengenai syurga, maka dia akan berasa gerun menerusi ayat-ayat mengenai neraka.
.
Abd Rahman Abd Majeed (2007) Rahsia dan Keajaiban Solat Pada Perkembangan Minda Insan. Kuala Lumpur: Darul Nu’man